Connect with us

ISU SEMASA

Johor kekal takrifan had umur belia sehingga 40 tahun – MB

Published

on

Johor kekal takrifan had umur belia sehingga 40 tahun – MB

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor hari ini menetapkan pendirian mengekalkan had umur belia bagi memastikan pelan perancangan dirangka, khusus membabitkan golongan itu tidak terbantut pelaksanaannya.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata kerajaan negeri menghormati pandangan dan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam membuat keputusan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688).

Katanya, Johor bagaimanapun masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 hingga 40 tahun.

“Pada umur 40 tahun, mereka adalah kelompok yang strategik untuk membina karakter kepimpinan dalam berjuang dan mengetengahkan isu semasa yang berbangkit.

“Ini seiring dengan semarak cita-cita melalui penonjolan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang menjadi ciri dan citra orang muda.

“Malah, pada peringkat umur ini literasi politik mereka juga stabil, selain masa yang sesuai untuk membentuk mereka menjadi pemimpin pelapis masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sahruddin berkata, pelbagai dana bantuan yang diperkenalkan kerajaan mengguna pakai had umur 18 hingga 40 tahun.

“Pada masa ini juga golongan belia yang berusia 30 hingga 40 tahun juga masih aktif menyertai pelbagai program termasuk program aktiviti luar seperti aktiviti sukan.

“Maka Johor merasakan had umur belia 40 tahun dikekalkan adalah wajar,” katanya.

Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU itu diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ia dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

sumber: berita harian

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Majalah Perdana

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending