Connect with us

INFORMASI

Hukum Makan Siput Escargot Atau Siput Babi

Published

on

Hukum Makan Siput Escargot Atau Siput Babi

Soalan: Apakah hukum Makan Siput Escargot Atau Siput Babi

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.

Siput babi atau nama saintifiknya Achatina fulica merupakan sejenis siput daratan. Ia adalah haiwan moluska dari kelas gastropoda (berjalan dengan perut). Berbeza dengan siput akuatik yang menggunakan insang siput babi yang menggunakan paru paru untuk bernafas (pulmonata). Ia mempunyai cenkerang yang agak besar, padat dan berbentuk piramid dengan spira. Cangkerang siput babi dewasa mempunyai panjang sekitar 10cm sehingga 12cm dan lebarnya 4 ke 5 cm dengan berat 100 ke 120 gram. Lingkar cangkerang mempunyai arah putaran ke kanan. Dari segi struktur organ pembiakan ia adalah haiwan hemafrodit atau haiwan khunsa di mana ia mempunyai kedua dua organ jantan dan betina. Siput ini berasal dari benua Afrika. Pada kurun ke 20 ia telah di bawa ke India dan kemudianya merebak ke negeri Tropika yang lain. Ia adalah haiwan nokturnal atau haiwan malam. Siput Babi seringkali dianggap sebagai perosak. Di sesetengah negara, siput babi dikatakan dimakan. Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Siput_Babi.

Perbincangan Hukum

Dalam isu ini kami cuba untuk membincangkan hukum pada memakan siput babi yang dikategorikan sebagai khabaith

Pertama: Siput babi yang dikategorikan sebagai khabaith

Konsep uruf menghukumkan siput babi adalah merupakan haiwan khabaith dan kotor serta tidak halal untuk dimakan. Ini kerana masyarakat majmuk telah menganggapnya sebagai haiwan yang kotor dan menjijikkan. Maka ianya diharamkan berdasarkan konsep uruf yang menganggapnya sebagai khabaith. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk. (Surah al-A’raf: 157)

Begitu juga semua yang buruk atau yang kotor itu dipandang jijik oleh naluri manusia dalam masyarakat majmuk, walaupun dapat diterima oleh sebahagian mereka. Illah kepada pengharaman haiwan darat yang tidak mengalir darahnya seperti siput babi adalah kerana ianya terdiri daripada haiwan khabithah.

Sementara haiwan-haiwan yang tidak dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadis Rasulullah SAW, maka jumhur fuqaha (Hanafiah, Syafieyyah, dan Hanabilah) mengembalikannya kepada uruf masyarakat Arab. Sehubungan itu, maka haiwan yang dianggap tayyib oleh masyarakat Arab ia adalah halal. Manakala haiwan yang dianggap khabaith oleh masyarakat Arab ia adalah haram. Maka siput babi hukumnya berdasarkan uruf masyarakat majmuk setempat.

Asas kepada tanggapan jijik dan kotor ini berdasarkan tanggapan masyarakat arab pada zaman Rasulullah SAW. Kami nukilkan di sini daripada al-Fiqh al-Manhaji:

Semua binatang yang dipandang jijik oleh orang arab pada zaman Rasulullah SAW seperti binatang yang melata di bumi dan sebagainya adalah haram kecuali yang dihalalkan oleh syara’ secara khusus. Contohnya, al-yarbu’ (اليَرْبُوْعُ) iaitu sejenis binatang seperti tikus yang ekor dan telinganya lebih panjang dan kakinya lebih panjang daripada tangan, dhab (الضَّبُّ) iaitu binatang padang pasir yang menyerupai biawak, musang turki (السَّمُّوْرُ), landak, wabar (الوَبْرُ), iaitu sejenis binatang kecil sedikit daripada kucing dan tidak berekor, ibn ‘arsin (ابْنُ عَرْسٍ), iaitu sejenis binatang yang bermusuh dengan tikus dan sebagainya.

Hadis yang khusus tentang hukum halal dhab pula ialah, daripada Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

الضَّبُّ لَسْتُ آكُلُهُ ولا أُحَرِّمُهُ

Maksudnya: “Aku tidak makan dhab dan tidak pula mengharamkannya.” Riwayat al-Bukhari (5536)

Penentuan halal atau haram binatang berdasarkan kebiasaan orang arab adalah kerana mereka yang mula-mula menerima syariat. Nabi Muhammad yang diutus oleh Allah untuk seluruh umat manusia dan jin pula adalah di kalangan mereka. Begitu juga al-Quran mula diturunkan kepada mereka.” Lihat al-Fiqh al-Manhaji (1/69).

Siput babi adalah jenis yang dikategorikan sebagai haiwan darat. Di sini kami bawakan pembahagian binatang darat yang halal dan haram dimakan daripada kitab al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh:

Haiwan darat, iaitu haiwan yang hidup di daratan. Ia terbahagi kepada tiga jenis antaranya:

  1. Haiwan yang yang langsung tidak mempunyai darah seperti lalat, lebah, semut dan seumpamanya. Haram kepada manusia memakan haiwan ini kerana ia tergolong dalam kategori al-khabaith iaitu haiwan yang dipandang jijik oleh masyarakat Arab.
  2. Haiwan yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, cicak, tikus, dan seumpamanya. Haiwan daripada jenis ini diharamkan kerana ia tergolong dalam kategori al-khabaith dan setengahnya mempunyai racun yang memudharatkan manusia.
  3. Haiwan yang mengalir darahnya. Ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu haiwan jinak dan haiwan buas. Haiwan jinak daripada kategori al-An’am adalah halal dimakan seperti unta, lembu, dan kambing. Begitu juga halal dimakan haiwan jinak dari kategori burung seumpama ayam dan itik. Manakala haiwan buas yang bertaring seumpama singa dan harimau serta burung yang menggunakan kuku sebagai pemangsa seperti helang dan kelawar, ia adalah haram dimakan.
    Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh (4/2793)

Maka berdasarkan pembahagian di atas, siput babi termasuk pada jenis yang kedua iaitu jenis haiwan yang tidak mengalir darahnya dan ianya dikategorikan sebagai khabaith dan tidak halal untuk dimakan. Para fuqaha Syafieyyah menghukumnya haiwan sebegini sebagai najis kerana ianya termasuk daripada bangkai.

Kami nukilkan secara ringkas tiga prinsip untuk menentukan halal atau haramnya makanan daripada al-Fiqh al-Manhaji, antaranya:

Prinsip Pertama: Semua binatang yang dianggap elok oleh orang Arab semasa hidup senang, dan pada zaman Rasulullah SAW adalah halal.

Semua jenis ikan yang hidup di dalam laut walau apapun namanya. Hal yang demikian kerana binatang tesebut dianggap elok oleh orang arab. Binatang ternakan (الأنعام) iaitu, unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda, seladang, keldai liar, kijang, arnab dan lain-lain yang dianggap elok oleh orang arab yang kemudiannya diakui halal oleh syara’.

Bagaimanapun, ada juga binatang yang dianggap elok oleh orang arab, tetapi diharamkan oleh syara’ dan tidak harus dimakan seperti baghal, iaitu binatang hasil daripada pengawanan antara keldai jantan dengan kuda betina dan keldai peliharaan (الحمر الأهليّة).

Prinsip Kedua: Semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram.

Binatang tersebut seperti anjing , babi , serigala, beruang, kucing, Ibn Awi (ابْنُ آوِي) iaitu sejenis binatang yang besar sedikit daripada musang tetapi lebih kecil daripada anjing dan kukunya panjang, gajah, singa, harimau bintang, kera dan seumpamanya.

Prinsip Ketiga: Semua binatang yang sunat dibunuh adalah haram dimakan. Contohnya, ular, kala jengking, gagak, helang sikap, tikus dan semua binatang yang memudharatkan.

Binatang tersebut dan seumpamanya adalah haram dimakan, sama ada dianggap elok oleh orang arab ataupun tidak. Hal ini adalah kerana hadis telah menghukumnya sunat dibunuh dan kebanyakannya pula menjijikkan orang arab.

sumber: muftiwp

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Majalah Perdana

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending