Connect with us

AGAMA

Berkawan Biar Berpada- “Tak Perlu Ada Kawan Rapat Berlainan Jantina Sampai Tahap Kerap Sangat Berhubung”

Published

on

“Tak Perlu Ada Kawan Rapat Berlainan Jantina Sampai Tahap Kerap Sangat Berhubung!”

Kalau dah kahwin, buat cara dah jadi milik orang dan tak perlulah nak ada kawan rapat berbeza jantina sampai pasangan cemburu.

Nak-nak pula kalau berkawan rapat sampai balik rumah pun masih contact. Apa hal yan penting sangat sampai tak boleh nak tunggu esok pagi. Tak manis sungguh perangai macam itu.

Ini yang Hakak sedikit emosi bila sentuh pasal rumah tangga yang berkait ala-ala kes curang. Andai pernah berlaku dalam hubungan, berubahlah sebelum rasa cinta itu pudar sedikit demi sedikit. Nah, jemput renungkan kejap pandangan Puan Intan Dzukefli ini dari sudut kawan rapat lain jantina.

Salah Ke Kawan Rapat Lain Jantina

Pendapat saya, kita tidak perlu ada kawan rapat berlainan jantina hingga tahap perlu kerap sangat berhubung. Apatah lagi setelah bernikah, ada pasangan yang setianya hanya untuk kita serta anak-anak yang sedang sangat-sangat memerlukan perhatian.

Suka atau tidak, perbualan yang awalnya mungkin sekadar hal remeh-temeh mungkin akan berlanjutan menjadi melampaui batas. Mungkin akan mula mengimbau detik manis kenangan silam hingga kemudiannya bercerita tentang aib dan kekurangan pasangan, serta mengadu keluh kesah jerih perih berumahtangga yang sepatutnya kita hanya kongsikan dengan pasangan kita.

Ustaz kata, kadang punca kecurangan dan zina terjadi semudah dari pandangan, senyuman dan mesej “hai, hai” sahaja. Namun, oleh kerana terjebak ikhtilat, akhirnya menjadi semakin rapat, kerap berhubung, bertemu, bergurau senda. Malah akhirnya mungkin akan mula rasa sayang (nafsu yang disalah tafsir oleh godaan syaitan).

Sebab itu, tuntutan menjaga ikhtilat (pergaulan) ini sebenarnya bermula sejak bujang lagi. Inilah hikmahnya. Supaya tiada ‘kisah silam’ yang bakal menggoncang tiang seri rumahtangga.

Tiba-tiba datang semula ‘kawan baik’ yang mengadu kisah peribadi rumah tangga. Mula-mula sekadar simpati, namun sudah terlalu banyak terjadi kes sebegini yang akhirnya terjerumus ke lembah kecurangan dan penzinaan. Nauzubillah min zaliq.

Bila kata zina, jangan hanya ingat syaitan menggoda orang yang masih bujang sahaja. Bahkan setelah nikah asbab pergaulan bebas dari sebelum nikah akhirnya menjadikan jalan untuk berzina bahkan lebih mudah kerana tak risau tentang ‘pak sanggup’ kerana si dia memang bersuami. Tak takut kalau mengandung kerana sudah memang sudah jadi status isteri. Astaghfirullah, nauzubillah min zaliq.

“Alaaa… suka-suka je.. kami kawan lillahi ta’ala.” Kalau sebegitu, jadikan mereka kawan baik pasangan kita kerana mereka sejantina. Tak perlu kita terjebak ikhtilat tanpa keperluan. Beringat dari awal adalah lebih baik.

Kes Pasangan Berzina

Sejak akhir-akhir ni, banyak terbaca confessions dan berita suami yang tahu isteri berzina dengan bekas teman lelaki, kawan sepejabat, teammates. Astaghfirullah. Yang menyedihkan, si suami mungkin kerana jahil sekadar mendiamkan kerana terlalu sayang. Walhal, sebenarnya hal sebegini perlu dirujuk kepada pejabat agama untuk tindakan selanjutnya.

JANGAN LUPA, DALAM ISLAM HUKUMAN BAGI PENZINA YANG TELAH BERKAHWIN IALAH REJAM SAMPAI MATI.

Dayus bagi seorang lelaki membiarkan isteri melakukan kemungkaran hatta sekadar mendedahkan aurat rambut kepada bukan mahramnya. Apatah lagi hingga ke tahap berzina! Astaghfirullahal adzhim.

Bagi para suami pula, sekiranya benar-benar mampu, maka teruskanlah dengan pernikahan (yakni berpoligami) tanpa perlu terjebak berzina dan menzalimi hak isteri yang sedia ada, mengabaikan nafkah anak isteri kerana leka mabuk cinta. Allahuakbar.

Islam tidak zalim. Islam sangat menjaga kebajikan dan hak para suami pun isteri, namun kebanyakan dari kita yang sendiri menzalimi diri sendiri kerana kejahilan dan terlalu bertuankan nafsu. Jangan ambil Islam ikut apa yang kita suka. Ambil separuh, buang mana yang tidak selari dengan nafsu dan lifestyle kita. Astaghfirullah.

Selebihnya sentiasa ingatkan diri, apa niat bernikah dahulu?

Kerana Allah, kerana agama, mahu ada teman penguat semangat mengejar syurga Allah. Lalu muhasabah semula, kini jalan yang sedang dilalui seiring atau tidak dengan niat dan matlamat tadi?

  • Para suami…
  • Ada ajar anak isteri hal agama?
  • Ada ingatkan anak isteri jaga maruah, aurat dan solat?
  • Ada imamkan solat anak isteri atau tidak?
  • Cukupkah nafkah dan tarbiyyah anak isteri selama ini?

Semua ini sentiasa perlu diingatkan. Begitu jugalah dengan isteri sebagai ibu rumahtangga. Jangan sibuk leka dengan pujian lelaki ajnabi yang sebenarnya melekakan dan sengaja menduga keimanan. Terus block hal sebegini dan sibukkan diri dengan hal-hal ibadah supaya terhindar dari godaan.

Niat yang baik menjadikan komitmen pernikahan kukuh. Kita sentiasa memperbaiki diri dan berusaha melakukan yang terbaik buat pasangan dan keluarga. Kerana pada kita, mereka adalah lubuk pahala kita.

Hormatilah ikatan nikah kalian. Begitu besarnya ikatan ini, sehingga Al Quran menyebut akad nikah sebagai mitsaqon ghaliza, atau perjanjian yang berat.

Dalam Al-Quran, ayat ‘mitsaqon ghaliza’ hanya disebutkan 3 kali iaitu;

  • (+) ketika Allah SWT menyatakan hubungan pernikahan (surah an-Nisa’ : 21)
  • (+) ketika Allah SWT mengangkat Bukit Tsur di atas kepala Bani Israil dan menyuruh mereka bersumpah setia di hadapan Allah (surah an-Nisa’ : 154)
  • (+) ketika Allah SWT membuat perjanjian dengan para Nabi dan Rasul Ulul Azmi (surah al-Ahzab : 7)

Cukuplah kalam ini menjadi peringatan untuk kita muhasabah kembali. Pasangan kita bukannya tunggul, sekadar mesin ATM, amah atau hamba abdi. Mereka adalah amanah dan antara jalan kita ke syurga. InsyaAllah.

sumber: mingguan wanita

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Majalah Perdana

Continue Reading
Advertisement

Trending