Solat Jumaat di Perlis Hari Ini Diganti Dengan Solat Zohor

Solat Jumaat di Perlis hari ini diganti dengan solat Zohor

Menurut MAIPs, keputusan dibuat selaras nasihat Kementerian Kesihatan supaya mengelak sebarang perhimpunan berskala besar, termasuk aktiviti agama. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memutuskan solat Jumaat di seluruh Perlis hari ini digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing. Keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail susulan penularan kes C0VID-19 di negara ini.

“Hal ini adalah rentetan daripada perkembangan terbaru seperti yang telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” menurut MAIPs dalam satu kenyataan.

“Pihak kementerian meminta agar sebarang perhimpunan berskala besar, termasuklah aktiviti agama, hendaklah dielakkan. “Oleh yang demikian, pengurusan masjid-masjid di seluruh negeri Perlis hendaklah mengelakkan daripada melaksanakan apa-apa aktiviti perhimpunan awam berskala besar buat masa ini,” tambahnya.

Kenyataan itu turut menyebut, individu Muslim dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi Astro AWANI menjelaskan, arahan solat Jumaat itu akan dinilai dari minggu ke minggu. Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bahawa solat Jumaat perlu diteruskan seperti biasa ketika ini walaupun negara dilanda wabak COVID-19.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pihak masjid serta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memendekkan khutbah Jumaat bagi mengurangkan masa berkumpul. Zulkifli menjelaskan, isu solat Jumaat ketika negara dilanda wabak COVID-19 merupakan antara lima kertas kerja yang disediakan untuk dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Baru-baru ini Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kerajaan termasuk Malaysia wajib mengambil langkah bersesuaian untuk mencegah penyakit berjangkit daripada tersebar dan mengancam kesihatan serta nyawa warganya.

Antaranya, beliau menyarankan supaya menghentikan buat sementara solat berjemaah di masjid dan solat Jumaat.

Sumber : Awani

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Jom Like Page Kami Juga Di ikuti kami di youtube Majalah Perdana

Artikel Pilihan



About MajalahPerdana 973 Articles
Portal info perdana Malaysia dengan info gaya hidup lit, cerita viral terbaru, trend , masalah agama, rangkuman kehidupan