Pelajar Guna Pelastik Ikan Sebagai Beg Sekolah Ke Sekolah Ditertawakan Kawan2

Cikgu Tanya “Siapa punya beg ni?” ” Saya” -Kawan² Gelakkan Plastik Beg Ikan

Setiap individu pastinya mempunyai kisah pahit di sebalik kisah manis. Namun, perkongsian kisah sebegini bukanlah untuk menagih simpati tetapi untuk memberikan sedikit sebanyak inspirasi. Jika kita rasa kita susah, ramai lagi yang lebih susah.

Sedikit perkongsian saya semasa di sekolah rendah sekitar tahun 1992-1997.

Anak Askar Pencen, Penoreh Getah

Saya dilahirkan pada tahun 1985 iaitu tahun yang sama ayah saya bersara sebagai tentera dengan elaun persaraan yang kecil. Emak pula suri rumah sepenuh masa membesarkan 9 orang anak. Ayah melakukan pelbagai kerja termasuk menoreh getah bagi menampung keperluan keluarga.

Dan saya, merupakan anak ke 8 daripada 9 beradik. Ketika berusia 5 tahun, saya belum dapat memasuki pra sekolah atas faktor kekangan kewangan keluarga. Pada ketika itu, kakak sulung saya sedang melanjutkan pengajian di universiti. Tiga yang lain berada di sekolah menengah manakala tiga lagi di sekolah rendah. Seorang lagi, merupakan adik perempuan saya.

Keinginan untuk ke sekolah amat tinggi kerana setiap pagi melihat rakan-rakan sebaya di kampung telah pun ke sekolah, memakai baju sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dengan alat tulis, pensil warna dan bekas air yang berwarna-warni. Sungguh mengujakan. Tapi, saya hanya mampu melambai mereka ke sekolah dari pagar rumah.

Guna semula plastik beli ikan sebagai beg sekolah

Pada tahun 1991, usia saya 6 tahun, akhirnya ayah mendaftarkan saya pra sekolah. Gembiranya bukan kepalang. Saya sudah membayangkan beg sekolah dan alat tulis yang diimpikan. Namun, ayah memberitahu yang ayah tidak mampu membeli itu dan ini. Saya memahami dan tidak kisah asalkan dapat pergi sekolah.Emak pula mengumpul pensel-pensel lama yang saya ingat panjangnya hanya saiz jari kelingking.

Pemadam? Ikatkan saja tali getah di hujung pensel untuk dibuat pemadam. Gam pula emak masakkan tepung kanji dan dimasukkan ke dalam bekas. Baju? Jangan risau emak kata. Baju lama abang-abang saya boleh dipakai lagi. Beg pula? Emak ke dapur, mencari sesuatu dan kelihatan buntu.

Akhirnya, emak membasuh plastik yang digunakan untuk membungkus ikan yang dibeli pagi tadi.

Emak kata untuk sementara. Lalu saya ke sekolah menggunakan beg plastik itu. Pemegang plastik disangkut ke bahu seperti beg sekolah biasa. Entah kenapa, pada ketika itu saya tidak rasa malu dan silu. Yang penting, dapat ke sekolah dan belajar macam kawan-kawan saya.

Sampai di kelas, beg-beg sekolah dikumpulkan di suatu sudut dan hanya akan dipulangkan sebelum pulang ke rumah. Sebelum pulang, cikgu akan mengangkat beg satu persatu dan bertanya siapa pemilik beg untuk dikembalikan.

“Siapa yang bawa beg plastik ni?” “Saya!”.

Pada ketika itu, saya rasa sedikit malu sebab ditertawakan kawan-kawan. Tapi saya segera mendapatkan beg tersebut. Tidak lama bertahan, plastik koyak. Setelah kerap mengganti beg plastik. Emak mengadu pada ayah supaya membelikan saya beg sekolah baru.

Ayah berikhtiar. Saya berdebar. Ayah pulang, ayah menunjukkan beg baru. Saya melompat kegembiraan. Saya gembira dapat beg baru walaupun sebenarnya ayah hanya beli beg plastik lain. Kali ini beg plastik yang cantik. Lebih kukuh. Ada gambar sebelah biru sebelah merah. Saya masih ingat, sebab beg itu cukup bermakna.

Beberapa bulan kemudian, koyak juga. Akhirnya, kakak sulung memberikan beg lamanya kepada saya, beg sandang putih dengan gambar kereta api. Saya menerima sahaja asalkan ada juga beg.

Aci Beri Baju Sekolah

Terasa janggal apabila hampir separuh penggal, saya seorang sahaja yang masih tidak mempunyai pakaian seragam. Jiran saya berbangsa India melihat saya masih tiada baju seragam lalu dia memberikan salah satu baju seragam anaknya kepada saya. Saya terus pakai baju tersebut dan tidak sabar pulang ke rumah untuk menunjukkan kepada ayah dan emak yang saya telah ada baju sekolah! Ayah saya terkejut dan bertanya dari mana saya mendapatkan baju.

Aci bagi!!! Tapi ayah tertawa, baju tersebut ternyata tidak sesuai dengan saya. Saya berlari dan melompat hampir terjatuh. Bajunya besar. Seluarnya labuh. Tidak kisah. Saya sudah terlalu gembira. Emak segera mengubahsuai saiz baju tersebut. Terima kasih Aci!!! Tiada baju sekolah bukan isu baru dalam keluarga saya. Abang saya juga tiada t shirt seragam sukan. Ketika bersukan, dia pakai baju Melayu juga.

Tiada duit belanja

Di sekolah rendah, sebagai anak pesara tentera dan suri rumah, kedudukan kewangan keluarga membolehkan kami adik-beradik mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Namun, apabila makanan sama berulang, tekak kanak-kanak saya mula bosan untuk makan roti keras dan telur sejuk serta bubur lambuk kenyal. Teringin sekali nak makan di kantin bersama kawan-kawan.

Teringin sekali makan mee goreng.

Satu hari, saya pergi sahaja di kantin melihat kawan-kawan makan mee goreng. Harganya RM0.20. Memang saya tidak mampu. Saya tiada walau sesen pun. Saya meminta-minta kawan saya untuk rasa mee goreng, diberikan sesudu. Sedapnya. Esoknya saya tidak mahu makan RMT juga.

Saya pergi di kantin lagi. Duduk memerhati dan mengendeng kawan-kawan yang makan mee goreng. Tumpang selera orang kata. Tidak dapat tahan, saya meminta lagi. Dapat sesudu. Memang sedap. Sehingga satu ketika, kawan tersebut sudah tidak selesa diganggu saya untuk meminta makannya.

“Hari-hari nak mengecek mee kita, kita bagi tahu mak kita”. Sejak itu, saya tidak mengecek makanan orang lagi. Tahan selera.

Bekal Nasi Lemak Olok-olok

Emak sentiasa memahami. Anaknya ingin makan di kantin. Ingin makan makanan yang lebih sedap. Esok paginya, emak membungkus nasi putih biasa seperti bungkusan nasi lemak. Olok-oloknya seperti nasi lemak yang dijual di kantin untuk kami adik-beradik bawa bekal ke sekolah. Emak kreatif! Kami semua teruja. Sekarang saya sudah boleh makan di kantin. Saya makan nasi lemak olok-olok saya dengan kawan-kawan lain.

Pernah juga bekalan air di rumah terputus. Emak tidak dapat menyediakan bekalan makanan. Ketika itu saya nampak muka emak sangat risau memikirkan apa anak-anaknya akan makan.

Emak selongkar kabinet dapur. Ada tin milo yang berkarat. Emak buka penutup dengan sudu. Rupanya di dalam tin tersebut ada koleksi duit syiling 5 sen. Emak beri seorang 30 sen. 20 sen untuk beli makanan, 10 sen beli minuman. Gembira, sebab itu kali pertama ada duit belanja. Saya beli mee goreng kegemaran saya dan air sirap.

Namun, saya terbayang-bayang tabung tin milo emak saya. Saya nampak di dalamnya sudah tiada lagi baki syiling. Kami semua tidak meminta lagi duit belanja kerana kami sendiri nampak tiada lagi baki dalam tabung tin milo yang emak sorok di kabinet dapur.

Jana pendapatan, jual lukisan dan anjur pertandingan. Suatu hari, ada kawan saya memberikan saya rasa kuih karipap yang dibeli di kantin. Sedap juga. Saya berjumpa abang saya, bercerita tentang sedapnya kuih karipap. Abang membelikan saya satu, 10 sen harganya. Mana abang dapat duit? Rupanya, abang menjual lukisan tangannya. Dari situ, saya dapat idea untuk menjual lukisan juga.

Saya lukis gambar kartun 5 orang. Setiap satunya berharga RM0.10. Kawan-kawan suka lukisan saya. Semuanya terjual. Tanpa membuang masa, saya membeli 5 biji karipap. Saya makan tiga, dan lagi dua saya beri kepada abang saya. Tapi, abang saya marah. Abang suruh saya berjimat. Sepatutnya sehari beli satu karipap sahaja katanya. Abang maklumkan perkara ini pada emak. Emak juga menegur saya supaya lebih berjimat.

Saya akur saya telah membazirkan kesemua wang dalam masa sehari. Sepatutnya saya berjimat. Ayah amat mementingkan berjimat cermat dan menabung. Kalau dapat duit raya, ayah hanya benarkan beli barang bermanfaat. Saya membeli jam tangan. Wang baki ayah buka akaun Tabung Haji.

Suatu hari kawan memberitahu, kedai runcit di depan sekolah ada alat baru bernama mesin canggih bernama mesin fotostat. Saya tidak tahu mesin apa itu. Kawan saya membawa lukisan saya (gambar doraemon) ke kedai dan fotokopi gambar tersebut. Saya amat teruja.

Jadi, saya mengumpul beberapa orang kawan yang suka mewarna untuk bertanding mewarnakan lukisan saya. Saya akan menjadi juri. Mereka setuju. Saya akan lukis dan fotokopi. Yuran penyertaan RM0.20. Saya dapat sedikit untung.

Selepas kejayaan pertama, saya buat pertandingan kali kedua. Penyertaan bertambah ramai termasuk pelajar kelas sebelah. Lukisan semakin rumit. Dengan wang penyertaan, saya membeli alat tulis kepada pemenang. Baki duit, saya beli alat tulis yang saya impi, pensel tekan-tekan (mekanikal).

Kenangan bersama keluarga besar ketika sambutan hari raya yang lalu.

Masuk pertandingan demi hadiah

Saya masuk pelbagai pertandingan. Semua pertandingan saya akan usaha untuk menang. Saya bukan nak asah bakat sangat. Saya bukan gilakan populariti atas pentas. Saya hanya perlukan hadiah. Hadiah-hadiah pertandingan biasanya alat tulis dan buku. Saya amat memerlukannya kerana saya tidak mampu membelinya.

Segalanya bermula ketika peperiksaan darjah satu. Soalannya meminta pelajar hanya mewarnakan buah-buahan dalam gambar-gambar yang diberikan. Pasti, saya dapat membezakan buah-buahan dengan bukan buah-buahan.

Saya jadi panik sebab saya tiada pensel warna. Lalu saya hanya warnakan dengan pensel. Selepas cikgu menanda kertas soalan, cikgu bertanya di dalam kelas “kenapa warnakan buah rambutan warna hitam? Buah dah busuk ke?”. Lalu saya ditertawakan. Pengalaman ini amat sedih. Saya hanya tidak mampu. Bukan tidak tahu.

Tidak lama selepas itu, kawan saya menghadiahi saya pensel warna. Dia memberitahu ayahnya. Itulah pensel warna pertama saya. Terima kasih. Alhamdulillah, selepas itu, tiada satu pun pertandingan saya kalah. Saya menjuarai pertandingan melukis poster di peringkat sekolah dan daerah.

Saya dapat hadiah set alat tulis yang lengkap termasuk set geometri yang lebih cantik dan mahal daripada yang dimiliki rakan-rakan sekelas saya. Saya jadi teruja untuk masuk pertandingan selalu. Saya masuk pertandingan otak komputer, saintis muda, menulis khat, syarahan, berzanji, dan sukaneka.

Pelbagai hadiah membuatkan saya semakin teruja. Ayah sentiasa memberikan sokongan. Setiap kali pulang ke rumah membawa hadiah, ayah akan jerit “Anak Ayah!!!”. Saya suka menyusun hadiah di rumah, emak tersenyum dan sehingga sekarang emak bercerita tentang saya kepada cucu-cucunya yang suka menyusun hadiah dari ruang tamu sehingga ke dapur rumah. Banyaknya!!!

Saya masuk pertandingan bercerita sehingga berjaya ke peringkat kebangsaan dan mendapat pelbagai buku dan wang tunai. Wang tunai tersebut ayah simpan. Ada digunakan untuk membeli kasut sekolah pertama dari kedai kasut. Saya tidur bersama kasut tersebut. Puas rasanya memiliki kasut dengan usaha sendiri.

Sebelum ini, ayah akan belikan kasut sekolah lelong yang dijual secara lambak di pasar malam. Bukan kasut putih. Tetapi oleh kerana harga lelongnya mampu milik, ayah saya belikan juga. Tapi saya akan sapukan kapur biar nampak putih.

Basikal

Darjah 6, tahun 1997, saya menyertai pertandingan mewarna peringkat kebangsaan dengan meminjam set pensel warna rakan saya, anak orang berada. Penyertaan melebihi 1000 peserta dari seluruh negara. Hadiah utamanya, sebuah basikal. Saya teringin sekali ada basikal sendiri. Saya sudah terbiasa jika ingin sesuatu kena usaha sendiri. Sebab tahu ayah tidak mampu.

Alangkah berdebarnya menunggu keputusan. Sehinggalah keputusan tiga tempat teratas. Saya diumumkan mendapat tempat kedua. Semua rakan bersorak. Tapi saya bersedih. Ini bermakna, saya terlepas mendapat hadiah sebuah basikal.

Emak dan ayah serta adik beradik turut berbangga dan mengucapkan tahniah, saya tidak dapat menahan sedih. Saya menangis. Ayah pelik, anaknya mendapat tempat kedua menewaskan lebih 1000 peserta lain dan mendapat liputan akhbar serta menerima hadiah yang banyak. Barulah ayah tahu bahawa saya kecewa tidak menjadi juara untuk memiliki sebuah basikal.

Lama bermurung, lalu ayah membawa saya ke kedai basikal. Saya pelik kerana ayah pastinya tidak mampu. Ayah simpan wang kemenangan saya sebelum ini dan ayah menambah sedikit simpanan ayah dan meminta untuk dibayar secara ansuran. Akhirnya saya memiliki basikal. Ayah mengajar saya berusaha sehabis baik untuk memiliki sesuatu. Ayah suruh saya buat yang terbaik dalam peperiksaan UPSR.

Pelajar Mithali

Menerusi pencapaian saya dalam kokurikulum, sekaligus meningkatkan prestasi saya dalam akademik. Saya mampu menulis karangan kerana biasa memasuki pertandingan syarahan dan bercerita. Saya mahir Matematik dan Sains kerana sering menyertai pertandingan Saintis Muda dan Otak Komputer selain sering berkira-kira menguruskan kewangan.

Kerana petah berkata-kata sejak memasuki pertandingan syarahan di peringkat negeri dan bercerita peringkat kebangsaan, saya juga dilantik menjadi pengawas, ketua badan beruniform dan pengerusi persatuan. Akhirnya, saya diangkat menjadi Pelajar Mithali pada tahun 1997 dengan keputusan UPSR 4A.

Saya selalu tidak merasakan hidup saya susah, malah selalu bersyukur.Emak selalu bercerita tentang kisah ayah jauh lebih sedih. Ayah anak yatim piatu. Surat beranak pun tiada. Arwah nenek memberitahu ayah, sijil lahirnya sudah dibawa lari tentera Jepun. Ayah berjalan mencari rezeki 9 batu hari-hari.

Kak Long? Mak beritahu sehingga tangannya menggelembung panas menjinjing beg sekolah yang berat di waktu panas. Selalu mengikut ayah pindah randah mengikut tugasan tenteranya. Hampir seluruh negeri ayah menetap. Emak memotivasikan dengan menceritakan bahawa Kak Long sentiasa dapat nombor 1 di dalam kelas walau ke mana sahaja sekolah dipindahkan. Kak Long kini seorang doktor veterinar. Jika Kak Long boleh, mengapa tidak saya.

Emak pernah berseloroh, agaknya, kalau kita hidup macam tu di zaman sekarang, mungkin keluarga kita mendapat liputan rancangan Bersamamu TV3.

DR MOHD ISTAJIB MOKHTAR

BSy (Law), MSy, PhD (Malaya)

– Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Kelayakan Akademik

Sarjana Muda Syariah (Syariah dan Undang-undang)

-Lulus dengan Kepujian dengan Cemerlang. -Anugerah Pelajaran DiRaja Universiti Malaya 2008.

Sarjana Syariah (Syariah, Undang-undang dan Pencemaran Air)

-3 Tesis Terbaik (Kategori Master), Yayasan Nurul Yaqeen 2011.

Doktor Falsafah (Etika Perundangan Islam dan Konservasi Biodiversiti)

-Tesis Cemerlang. – Anugerah Graduan PhD Cemerlang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya 2015

Semoga memberikan inspirasi buat adik adik ya. Jangan lupa like komen dan share ya.

Credit : GPS Bestari

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Majalah Perdana

About MajalahPerdana 601 Articles
Portal info perdana Malaysia dengan info gaya hidup lit, cerita viral terbaru, trend , masalah agama, rangkuman kehidupan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*